this is what i think..and i want to tell you.. saya masih belaja @mencari ilmu dalam "persiapan" kehidupan yang semakin mencabar..just mintak masa untuk belajar.. dan mencari ilmu.. mengenali kehidupan. .untuk persediaan suapaya kehidupan di redhai Allah.. if read my blog.. baca,fikir,faham, dan bertindak. sya tahu sya susah hendak terima kenyaataan.. i'll try to forgive and forget..istikharah dh terjawab ketika sya "mati" seketika.. doakan sya berjaya ..kaya.. dn bahagia.. smoga awk berdua bahagia..
Read this,from langit ilahi blog:
Ketika penghujung usia saya 18 tahun, yakni penghujung tahun 2007, saya keluar mengembara bersama junior-junior saya. Dalam kembara itu, salah seorang junior saya yang merangkap adik usrah saya, meminjam laptop saya untuk ‘transfer’ gambar familinya dari ‘hard disk’ kepada ‘pen drive’.
Allah izin, ketika itu saya ternampak gambar dua orang perempuan bertudung labuh, berpakaian serba biru. Walaupun hanya sebentar saya ternampak gambar tersebut, salah seorang daripada dua perempuan itu seperti melekat di dalam jiwa saya. Walaupun ketika itu, tidak saya tahu siapa namanya.
“Kakak enta?” Saya bertanya adik usrah saya.
“Ha? Ah, ha’ah.”
Baru saya teringat yang dia ada kakak. Saya tahu semasa saya berta’aruf dengannya dua tahun sebelum itu. Tetapi selama ini saya tidak pernah ambil tahu siapa kakanya, wajahnya bagaimana, dan sebagainya. Antara cara saya menghormati persahabatan adalah, sekiranya sahabat saya ada adik perempuan, saya tidak akan bersembang atau menyentuh akannya.
Saya diam panjang selepas itu hari itu. Sebab saya benar-benar rasa ada satu perasaan aneh berlari-lari dalam jiwa saya selepas melihat gambar itu.
“Jatuh cinta? Sebab tengok gambar sahaja? Gila.”
Saya masih ingat, betapa saya marah kepada diri saya.
Memberikan Diri Masa.
Selepas diri ini mengikuti penyampaian demi penyampaian berkenaan rumah tangga, cinta dan perkahwinan, saya amat arif akan tipu daya syaitan dalam urusan ini. Perasaan-perasaan yang membuatkan manusia akhirnya buta, lalu mengejar sesuatu yang tidak pasti seperti orang gila, bermain-main dengan perasaannya.
Berbanding sibuk kemaruk dengan perasaan itu, atau rasa ‘syok’ mempunyai perasaan cinta yang berbunga, saya telah memberikan diri saya masa.
Penghujung tahun 2007, sekitar bulan November, perasaan itu tumbuh dalam diri saya. Semenjak hari itu, sehinggalah pertengahan tahun 2008 sekitar bulan Mei atau Jun, saya mempersoalkan perasaan saya itu.
“Tengok gambar sudah jatuh cinta? Gila.” Itu saya ulang entah berapa kali.
“Kenalkah? Tidak. Tahu dia bagaimana? Tidak. Pernah jumpa? Tidak pernah. Bagaimana boleh nak cintakan dia? Nama pun kita tidak tahu!” Antara soalan saya pada diri saya setiap hari.
Pernah juga diri saya ‘mengajak’ untuk saya berkenalan dengannya. Jadi, saya pergi ambil Buku MATRI yang menyimpan gambar pelajar-pelajar MATRI, dan mula mencari. Kakak junior saya itu ada dua, saya hanya tahu nama, tetapi tidak tahu siapa pemilik namanya. Saya mencari nama tersebut, dan menjumpainya di dalam satu kelas. Ketika itu baru saya kenal, pemilik wajah ini bernama ini, dan pemilik wajah itu bernama itu.
Rupanya saya jatuh hati kepada yang bernama sekian.
Namun itu masih tidak menenangkan saya.
“Dia adik dan kakak kepada sahabat kita. Risau ini akan rosakkan hubungan kita dengan sahabat-sahabat kita.” Antara alasan untuk saya ketepikan perasaan itu, memandangkan adik dan abangnya adalah sahabat saya.
Begitulah saya mempersoalkan perasaan itu. Memang tujuan saya adalah untuk menimbulkan keraguan di dalam diri saya, agar perasaan itu tersisih dan hilang pergi. Kerana saya tidak mahu diri saya terjebak dengan perasaan yang palsu. Saya tidak mahu dipermainkan syaitan yang sering menipu.
Lama saya fikir. Amat takut jika ini hanya perasaan main-main sahaja.
Kata mahu bercinta secara luar biasa!
Maka mustahil dengan sekadar rasa-rasa, terus menganggap itulah dia cinta yang sebenarnya!
Ya, Aku Telah Jatuh Cinta.
Saya tidak berani mahu menyatakan ‘Allah hendak saya bertemu dengannya’, kerana saya tidak tahu apa yang Allah mahukan sebenarnya. Tetapi telah berlaku dalam sejarah hidup saya, saat saya bertalu-talu berusaha menyisihkan perasaan yang ada dengan memberikan pelbagai keraguan agar saya membuangnya, keyakinan datang membuatkan saya menjadi tetap dengan perasaan yang ada.
Dari November 2007, hingga sekitar bulan Mei atau Jun 2008, saya bertarung dengan perasaan itu dan ingin menyisihkannya, kerana tidak berasas. Namun pada sekitar bulan Mei atau Jun 2008 itu, saya telah dipilih oleh arwah Ummi Halimaton, guru Bahasa Malaysia di MATRI, untuk menjadi pengerusi kepada Majlis Penyampaian Hadiah Kecemelarngan MATRI. Sedangkan, tugas itu sepatutnya dilaksanakan oleh mereka yang bertaraf guru juga. Saya, memandangkan mempunyai hubungan yang rapat dengan Ummi Halimaton, menerimanya tanpa banyak bicara.
Apa yang menakjubkan ketika itu adalah, salah seorang yang menerima hadiah adalah perempuan yang saya jatuh hati kepadanya itu. Saya sendiri tidak perasan, melainkan ketika sesi rehearsal penyampaian hadiah. Ketika sesi rehearsal majlis penyampaian hadiah, dia pula tidak hadir. Tetapi kala majlis yang sebenar berjalan, ketika itulah saatnya saya mendapat yakin.
Saya memberanikan diri mengangkat mata saya untuk melihatnya.
Saya masih ingat perasaan ketika itu. Tidak sampai sesaat saya memandangnya, saya terasa seperti dibakar dengan kelembutan wajahnya, senyumannya saat menerima hadiah, dan dengan cepat saya mengalihkan pandangan saya semula.
Di situ, perasaan saya jadi semakin kuat. Hingga terdetik di dalam hati saya ketika itu: “Allah susunkan perkara ini kerana mungkin dia memang jodoh aku!” Walaupun kini, saya kurang bersetuju dengan kenyataan sedemikian rupa. Kita tidak pernah tahu Allah susunkan apa untuk kita, dan kita tidak pernah akan mampu pastikan, apakah satu-satu peristiwa itu menandakan si dia atau si dia sebagai jodoh kita. Kita tidak akan mampu. Ini saya akan bicarakan lagi secara detail di lembaran lain.
Selepas peristiwa itu, walaupun perasaan menjadi ‘besar’ dan ‘kuat’, saya tidak pantas pergi kepada perempuan yang saya suka. Saya tidak pantas menghubunginya. Kerana jelas, saya ada definisi cinta saya. Saya masih mengambil langkah yang berhati-hati.
Cinta bukan kerana wajah. Cinta bukan kerana harta. Cinta bukan kerana dunia. Cinta ini mestilah membawa ke syurgaNya. Cinta ini mestilah memberikan manfaat kepada agamaNya.
Maka, saya bermula dengan ingin mengetahui diri dia yang sebenarnya. Pada saya, jatuh cinta hanya kerana keindahannya, bukanlah satu alasan yang cukup untuk sebuah cinta yang luar biasa. Kembara saya bermula.
Saya pergi kepada guru demi guru di MATRI dan bertanya akan perempuan yang saya suka itu. Bertanya akan akhlaknya, sikapnya, peribadinya. Saya pernah juga, secara tidak langsung, bertanya kepada abangnya dan adiknya. Untuk benar-benar mengetahui, bagaimanakah dirinya. Kemudian saya bertanya juga kepada beberapa kakak senior akan dirinya.
Itupun pada saya masih tidak mencukupi. Berkahwin dengan seseorang, bererti berkahwin dengan keluarganya. Maka bagaimana keadaan keluarganya? Ibu Bapanya? Saya pernah pergi ke rumahnya sebelum itu, atas dasar menziarahi rumah sahabat dan junior saya. Ketika itu, seluruh keluarga mereka ada di rumah. Jadi saya lebih banyak bersama dengan sahabat saya, berbanding bermesra dengan Ibu dan Ayahnya. Jadi, peluang tidak banyak buat saya ketika itu.
Maka saya mengambil keputusan untuk mengembara lagi ke rumah itu, kali ini sekadar untuk bermesra dengan Ibu dan Ayahnya. Kebetulan saya ada Kursus Pelajar Ke Luar Negara berdekatan dengan rumahnya, maka saya berjaya mendapat peluang untuk menziarahi Sang Ayah dan Sang Ibu, kala anak-anak mereka tiada. Di sana, saya meneliti Ayah dan Ibu perempuan yang saya cintai.
Sederhana.
Sejenak saya bandingkan keluarga itu dengan keluarga saya, saya terasa seakan satu ‘kelengkapan’ dalam kehidupan sekiranya saya mendapat mertua sedemikian rupa.
Ketika itu saya putuskan di dalam diri saya,
Ya, aku telah jatuh cinta.
Bukan kerana wajahnya yang menawan. Tetapi kerana mengetahui betapa sederhananya dia dan keluarganya. Selepas memastikan akhlak, memastikan keadaan famili, barulah saya semat di dalam jiwa, bahawa saya cinta kepadanya, dan ingin dia, menjadi isteri kepada saya.
Tidak Terus Meluahkan Kepadanya.
Saya tidak pula terus meluahkan kepada perempuan yang saya cintai itu akan hajat saya. Akan perasaan saya. Tidak.
Bahkan kala bertemu dengan Ibu dan Ayahnya, saya tidak berkata apa-apa pun fasal perempuan itu. Saya menziarahi, hanya dengan menggunakan lesen bahawa saya adalah sahabat kepada anak-anak lelaki mereka. Sekadar untuk memerhatikan Ayah dan Ibunya dengan lebih dekat.
Saya ketika itu seringkali berpesan kepada diri saya agar berhati-hati dalam urusan ini, agar kalaulah saya tidak dapat pun menjadikan perempuan yang saya cintai itu sebagai isteri saya, saya berharap hubungan baik saya dengan keluarga mereka tidak terjejas.
Walaupun saya tidak meluahkan kepada perempuan yang saya cintai, mahupun keluarganya, saya tetap meluahkannya kepada Ummi dan Abah saya. Saya memandang bahawa jika kita serius mencintai seseorang, maka kita hendak masuk ke syurga bersamanya. Hendak masuk ke syurga, semestinya dengan mengambil jalan yang baik. Maka antara hendak memastikan bahawa kita berada di atas jalan yang baik, adalah dengan berbincang dengan orang yang lebih tua, contohnya Ibu Bapa kita.
Ketika saya memberitahukan perkara itu, Abah berkata:
“Muda lagi ni. Berikan masa.”
Ummi pula berkata: “Kahwin sekarang dah mahal. Kurang-kurang mahu RM20,000.”
Saya tidak memilih untuk memberontak dan mempersoalkan kata-kata mereka. Tetapi saya pada ketika itu, memilih untuk mengambil kata-kata mereka sebagai satu pandangan lain bagi mengimbangi keinginan saya. Benar, saya masih muda, perlukan masa untuk menggapai kematangan biar keluarga yang saya bina nanti ampuh dalam perjalanan menggapai redha Tuhan. Benar, saya perlukan kekuatan agar mampu menyara kehidupan.
Maka tidak lama kemudian, saya menghasilkan perancangan kehidupan saya, dan membentangkannya depan Ummi dan Abah. Bagaimana saya mahu mendapatkan wang, bagaimana saya mahu belajar di Universiti, berapa tahun, bila saya rancang untuk berkahwin, dan bagaimana saya hendak meneruskan kehidupan. Ya. Pada saya, itulah tanda keseriusan saya.
Sebelum saya menyambung pengajian di Jordan pada September 2008, saya memilih untuk meberitahu abang kepada perempuan yang saya cintai akan perasaan dan hajat saya. Abangnya adalah antara sahabat saya yang terakrab, jadi saya kira dia patut mengetahuinya. Sang Abang sekadar menyatakan bahawa dia tidak punya kuasa apa-apa dalam hal itu, walaupun dia mampu menerima dengan senang hati jika saya benar ingin menjadikan adindanya sebagai isteri saya.
Justeru, saya terbang ke Jordan dengan wawasan.
Wawasan untuk membina peribadi, agar menjadi yang lebih baik lagi. Membina juga kekuatan ilmu, kewangan, dan kekuatan agar mampu memimpin serta membina sebuah keluarga yang diredhai Ilahi. Begitulah, baru saya yakin untuk melamar seorang bidadari yang menyentuh jiwa saya. Pada saya dia mahal, maka saya juga perlu menjadi ‘mahal’ untuk melamarnya.
Dengan wawasan itu, saya corakkan kehidupan universiti saya.
Patutkah Kita Meluahkannya?
Apa yang saya sampaikan tadi, adalah situasi saya.
Mungkin ada yang akan bertanya, patutkah kita meluahkan perasaan cinta kita kepada orang yang kita cintai?
Ada kata-kata ‘Islamik’ yang berbunyi: “Kalau suka, jangan luah. Kalau luah, Allah akan kurangkan kemanisan dalam cinta kita. Tetapi berdoalah kepada Allah, agar Dia memberikan yang terbaik.”
Ayat ini kelihatan Islamik. Tetapi saya tidak bersetuju dengannya. Kalau suka, jangan luah. Hem. Bagaimana kalau nak buka laci, jangan buka laci. Pelik kan jadinya? Islam bukan agama ajaib sedemikian. Islam agama realistik.
Saya berpendapat bahawa, kalau suka, kenalah ada perancangan untuk meluahkannya. Mahu tidak mahu, perasaan itu mesti diluahkan. Luah itu adalah usaha kita untuk mendapatkan orang yang kita cintai, yang kita rasa baik kepadanya.
Namun, luahkanlah dalam keadaan yang mantap, bersedia, punya wawasan dan kematangan, dengan cara yang syar’ie, dan punya perancangan masa hadapan yang baik. Sebaiknya, luahkan kepada kedua-dua ibu bapanya. Sebelum meluahkan, bincang dengan Ibu Bapa kita sendiri terlebih dahulu, dengan penjaga kita, dengan ustaz-ustazah yang rapat dengan kita. Agar luahan kita itu bukan satu perkara yang bermain-main.
Jadi sebelum luahkan itu, fikir masak-masak. Bincang betul-betul dengan famili. Berdoa mohon kemantapan dan keyakinan daripada Allah SWT. Kemudian yakinlah, dan luahlah.
Janganlah diri itu belum mampu untuk bercinta, sibuk nak meluah-luahkannya.
Tetapi di sini, pada saya, “Kalau suka, jangan luah. Kalau luah, Allah akan kurangkan kemanisan dalam cinta kita.” Adalah satu statement yang jumud. Islam bukan sedemikian.
Binalah diri, binalah peribadi. Binalah perancangan untuk meluahkan rasa cinta.
Jangan luahkannya dalam keadaan ‘berbogel’, tanpa diri punya apa-apa.
Penutup: Masa dan Perancangan.
Pada saya, cinta yang buta adalah yang hanya dipandu perasaan. Manakala cinta yang celik adalah yang dipandu keimanan. Bila dipandu keimanan, maka matlamat cinta bukanlah semata-mata perkahwinan. Bahkan, matlamatnya adalah rumah tangga yang dihiasi keredhaan Tuhan.
Kerana cinta yang sebenar adalah yang membawa ke syurga.
Kerana itu, jika benar cinta, maka pastikan kita memberikan kepada diri kita masa, dan mempersiapkan diri kita dengan perancangan.
Jangan sesekali kita terburu-buru dan tergesa-gesa. Semuanya perlu dipertimbangkan. Agar kita tidak tertipu dengan perasaan kita.
Cinta itu pada saya bukan sekadar rasa-rasa. Mustahil jika hendak ke syruga, cukup dengan sekadar rasa-rasa!
Masa itu penting. Jangan berang apabila ada yang memberikan teguran bahawa kita ini masih muda. Walaupun mungkin nasihat itu bukan setiap masa relevan, tetapi kita sendiri perlu bijak menilai diri. “Apakah aku telah memberikan diri ini satu jangka masa untuk berusaha mencapai matang?”
Perancangan itu perlu ada. Kalau benar cinta itu hendak ke syurga, semestinya bukan semeberono sahaja!
Maka apakah namanya cinta jika kita dilalaikan dengan perasaan? Apakah namanya cinta jika sibuk dengan makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena dan sebagainya? Apa namanya jika kemaruk sampai melanggar perintah Allah SWT? Apa namanya cinta, jika terburu-buru hendak melangsungkan perkahwinan, tanpa wujudnya perancangan membina ‘kemampuan’ untuk menggerakkan sebuah keluarga? Itu semuanya murah!
Pada saya, memahami perkara ini, bertenang dalam menghadapi cinta ini, adalah hanya selepas kita memahami bahawa cinta itu adalah hendak bersama ke syurgaNya. Apa-apa yang melempar ke neraka, itu bukan cinta namanya. Kerana itu, saya tekankan pembetulan kepada definisi cinta!
Ya, cerita saya mungkin sedikit tergantung di atas ini. Fokus saya dalam lembaran kali ini sekadar mahu menunjukkan situasi saya ketika saya ‘disapa’ oleh makhluk bernama ‘cinta’. Bagaimana saya berhadapan dengannya.
Kita akan sambung cerita di atas ini, dalam lembaran-lembaran yang mendatang.
No comments:
Post a Comment